Allah memerintahkan Abram (Nabi Ibrahim) untuk meninggalkan negerinya, keluarganya, dan rumah ayahnya menuju tanah yang akan ditunjukkan-Nya. Allah berjanji akan membuat Abram menjadi bangsa besar dan memberkatinya. Abram patuh dan pergi dengan Sarai dan Lot. Mereka tiba di Tanah Kanaan, dan Allah menampakkan diri kepada Abram, berjanji untuk memberikan tanah itu kepada keturunannya. Abram membangun sebuah mezbah dan melanjutkan perjalanan ke Tanah Negeb.
Setelah berlakunya pelbagai peristiwa terhadap Abram, Allah memberikan penglihatan kepada Abram bahawa dia tidak perlu takut kerana Allah adalah perisainya dan menjamin kepadanya bahwa ganjarannya akan besar. Abram mengungkapkan kekhawatirannya tentang tidak memiliki keturunan, tetapi Allah meyakinkannya bahwa anak lelaki darah dagingnya sendiri akan menjadi ahli warisnya. Allah mengajak Abram memandang langit dan menghitung bintang-bintang sebagai simbol banyaknya keturunannya kelak. Abram percaya kepada Allah, dan Allah menganggapnya sebagai orang yang benar. Allah membuat perjanjian dengan Abram, menjanjikan tanah yang meliputi banyak suku bangsa untuk keturunannya.
Bacaan dari Kejadian 12:1-9
Keberkatan Abram (Nabi Ibrahim)
1 Allah berfirman kepada Abram, “Tinggalkanlah negerimu, dan kaum keluargamu serta rumah ayahmu dan pergilah ke negeri yang akan Kutunjukkan kepadamu.
2 Aku akan membuat kamu untuk menjadi suatu bangsa yang besar. Aku akan memberkati kamu dan menjadikan namamu hebat. Kamu akan menjadi berkat!
3 Aku akan memberkati mereka yang memohonkan berkat bagimu, dan Aku akan mengutuk mereka yang mengutuk kamu. Melalui kamu, semua suku bangsa di bumi akan diberkati.”
4 Maka berangkatlah Abram seperti yang Allah firmankan kepadanya, dan Lut turut pergi bersama-samanya. Abram berumur tujuh puluh lima tahun sewaktu dia meninggalkan Haran.
5 Dia menuju Tanah Kanaan dengan membawa Sarai isterinya dan Lut anak saudaranya bersama-samanya, serta segala harta benda dan hamba yang diperoleh mereka sewaktu di Haran. Lalu tibalah mereka di Tanah Kanaan.
6 Abram berjalan menjelajahi negeri itu sehingga suatu tempat di Sikhem, yakni di pokok oak More. Pada waktu itu orang Kanaan tinggal di negeri itu.
7 Kemudian Allah menampakkan diri kepada Abram dan berfirman, “Kepada keturunanmu akan Aku kurniakan negeri ini.” Maka Abram membangunkan di sana sebuah mazbah iaitu tempat persembahan korban bagi Allah, yang telah menampakkan diri kepadanya.
8 Dari situ, Abram beralih ke pergunungan di sebelah timur Bait-El lalu mendirikan khemahnya di antara Bait-El di sebelah barat dengan Ai di sebelah timur. Di situ Abram mendirikan sebuah mazbah bagi Allah dan kepada nama Allah.
9 Setelah itu, Abram meneruskan perjalanannya lagi ke arah selatan menuju ke Tanah Negeb.
Bacaan dari Kejadian 15:1-21
Perjanjian Allah dengan Abram (Nabi Ibrahim)
1 Sesudah berbagai-bagai peristiwa itu, turunlah firman Allah kepada Abram dalam suatu penglihatan demikian, “Jangan takut, Abram, Akulah perisaimu. Ganjaranmu akan sangat besar.”
2 Jawab Abram, “Ya Allah, ya Rabbi, apakah yang hendak Engkau kurniakan kepadaku? Sampai sekarang aku tidak mempunyai anak, dan yang akan mewarisi rumahku ialah Eliezer, orang Damsyik itu.”
3 Kata Abram pula, “Sesungguhnya, Engkau belum mengurniai aku keturunan, sehingga hamba yang lahir di rumahkulah yang akan menjadi ahli warisku.”
4 Akan tetapi, turunlah firman Allah kepadanya demikian, “Bukan orang itu yang akan menjadi ahli warismu, melainkan anak lelaki darah dagingmu sendirilah yang akan menjadi ahli warismu.”
5 Kemudian Dia membawa Abram keluar dan berfirman, “Dongaklah ke langit dan hitunglah bintang jika kamu dapat menghitungnya.” Firman-Nya kepadanya, “Demikianlah banyaknya keturunanmu kelak.”
6 Lalu Abram percaya kepada Allah dan oleh itu, Abram dianggap Allah sebagai orang yang benar.
7 Seterusnya Dia berfirman lagi kepadanya, “Akulah Allah, yang membawa kamu keluar dari Ur-Kasdim untuk memberikan negeri ini kepadamu dan menjadikannya milikmu.”
8 Kata Abram, “Ya Allah, ya Rabbi, bagaimanakah akan kutahu bahawa aku akan memilikinya?”
9 Firman Allah kepadanya, “Ambilkanlah Aku seekor lembu betina muda, seekor kambing betina, dan seekor domba jantan, masing-masing berumur tiga tahun, juga seekor burung tekukur dan seekor anak burung merpati.”
10 Abram mengambilkan-Nya semua itu, memotongnya menjadi dua, lalu meletakkan potongan yang satu berhadapan dengan yang lain. Tetapi burung-burung tidak dibelah dua.
11 Ketika burung-burung pemangsa hinggap di atas daging sembelihan itu, Abram pun menghalaunya.
12 Menjelang matahari terbenam, Abram tertidur lelap. Tiba-tiba, dia diselubungi oleh kegelapan yang dahsyat dan ketakutan mencengkam dirinya.
13 Kemudian Allah berfirman kepada Abram, “Ketahuilah dengan pasti bahawa keturunanmu akan menjadi pendatang di negeri yang bukan negeri mereka. Mereka akan diperhamba dan ditindas empat ratus tahun lamanya.
14 Akan tetapi, bangsa yang memperhamba mereka akan Kuhukum, dan setelah itu mereka akan keluar dengan membawa harta benda yang banyak.
15 Kamu pula akan pulang kepada nenek moyangmu dengan sejahtera. Kamu akan dimakamkan pada usia yang sangat tua.
16 Keturunan yang keempat akan kembali ke sini, kerana kejahatan orang Amori belum mencapai tahap puncaknya.”
17 Setelah matahari terbenam dan hari menjadi gelap, tiba-tiba tampaklah sebuah pendiangan yang berasap dan obor yang menyala-nyala bergerak di antara potongan daging itu.
18 Pada hari itu juga Allah membuat perjanjian dengan Abram, firman-Nya, “Kepada keturunanmu Kuberikan negeri ini, mulai Wadi Mesir sampai sungai besar, iaitu Sungai Efrat,
19 meliputi tanah orang Keni, orang Kenas, orang Kadmon,
20 orang Het, orang Feris, orang Refaim,
21 orang Amori, orang Kanaan, orang Girgasi, dan orang Yebus.”