1 Ular memang lebih licik daripada mana-mana haiwan liar lain yang dijadikan oleh Allah, Al-Khalik. Ular itu berkata kepada perempuan itu, “Adakah Allah benar-benar berfirman, ‘Jangan kamu makan buah daripada mana-mana pun pokok di dalam taman ini’?”
2 Perempuan itu berkata kepada ular itu, “Kami boleh memakan buah daripada pokok-pokok di dalam taman ini,
3 tetapi dalam hal buah daripada pokok yang berada di tengah-tengah taman ini, Allah berfirman, ‘Janganlah kamu makan buah itu, malah jangan kamu menyentuhnya supaya kamu tidak mati.’ ”
4 Berkatalah ular kepada perempuan itu, “Kamu pasti tidak akan mati.
5 Memang Allah tahu bahawa pada hari kamu memakannya akan terceliklah matamu dan kamu akan seperti Allah yang mengetahui yang baik dan yang jahat.”
6 Apabila perempuan itu melihat bahawa buah pokok itu bagus sebagai makanan dan nampak sedap, apatah lagi buah itu mampu membuat seseorang menjadi bijaksana dia pun mengambilnya lalu memakannya. Dia juga memberikan buah itu kepada suaminya yang bersama-samanya, dan suaminya juga memakannya.
7 Maka terceliklah mata kedua-duanya dan sedarlah mereka bahawa mereka bertelanjang lalu mereka membuat cawat penutup aurat daripada dedaun pokok ara.
8 Terdengar oleh mereka suara Allah, Al-Khalik, yang berjalan di taman pada ketika hari dingin lalu manusia serta isterinya menyembunyikan diri dari hadirat Allah, Al-Khalik, di antara pokok di dalam taman.
9 Akan tetapi
Allah, Al-Khalik, memanggil manusia itu dan berfirman kepadanya, “Di manakah engkau?”
10 Jawabnya, “Aku mendengar suara-Mu di taman, lalu aku menjadi takut kerana aku ketelanjangan. Jadi aku pun bersembunyi.”
11 Firman-Nya, “Siapakah yang memberitahumu bahawa kamu bertelanjang? Adakah kamu memakan buah daripada pokok yang telah Kularang kamu memakan buahnya?”
12 Jawab manusia itu, “Perempuan yang Kautempatkan bersama-samaku itulah yang memberi aku buah daripada pokok itu, maka aku memakan buah itu.”
13 Allah, Al-Khalik, berfirman kepada perempuan itu, “Apakah yang telah kamu lakukan?” Jawab perempuan itu, “Ular itu memperdayakan aku sehingga aku memakan buah itu.”
14 Maka berfirmanlah Allah, Al-Khalik, kepada ular itu,
“Atas sebab perbuatan engkau itu,
terkutuklah engkau melebihi segala haiwan ternakan dan binatang liar.
Engkau akan menjalar dengan perutmu
dan engkau akan makan debu tanah seumur hidupmu.
15 Aku akan mengadakan permusuhan antara engkau dengan perempuan ini,
dan antara keturunanmu dengan keturunannya.
Keturunannya akan meremukkan kepalamu,
dan kamu akan meremukkan tumitnya.”
16 Firman-Nya kepada perempuan itu,
“Aku akan melipatgandakan kesakitan
dan kesusahanmu semasa engkau melahirkan anak.
Namun begitu, kamu tetap akan menginginkan suamimu,
dan dia akan berkuasa atasmu.”
17 Kepada Adam Allah berfirman, “Oleh sebab engkau menurut kata isterimu dan memakan buah daripada pokok yang telah Kuperintahkan kepadamu, ‘Jangan kaumakan buahnya,’
maka terkutuklah tanah kerana engkau.
Engkau akan bersusah payah mengerjakan tanah
dan memakan hasilnya seumur hidupmu.
18 Tanah akan menumbuhkan duri dan onak untukmu,
dan tumbuh-tumbuhan di padang akan menjadi makananmu.
19 Berkeringat keringlah engkau kelak mendapatkan rezekimu
sehingga kembalinya engkau menjadi tanah,
kerana dari tanahlah engkau diambil.
Oleh sebab asalmu debu,
maka engkau kelak kembali menjadi debu.”
20 Lalu Adam menamakan isterinya Hawa, kerana dialah ibu kepada semua yang hidup.
21 Allah, Al-Khalik, membuat pakaian daripada kulit binatang untuk Adam dan isterinya itu, lalu memakaikannya kepada mereka.
22 Kemudian
Allah, Al-Khalik, berfirman, “Lihatlah, betapa manusia itu sudah menjadi seperti satu daripada Kita, yang tahu tentang perkara yang baik dan yang jahat. Maka jangan dibiarkan sampai dia menghulurkan tangannya pula untuk mengambil buah daripada pokok hayat itu lalu memakannya, sehingga dia hidup untuk selama-lamanya.”
23 Lalu Allah, Al-Khalik, memerintahkan manusia itu keluar dari Taman Eden untuk mengerjakan tanah, iaitu asal jasadnya.
24 Lalu Dia mengusir manusia itu keluar, lantas di sebelah timur Taman Eden ditempatkan-Nya dua malaikat kerubin dan sebilah pedang yang bernyala-nyala serta berputar ke segala arah untuk mengawal jalan yang menuju kepada pokok hayat itu.