
Di Taman Getsemani
Petikan dari Kitab Injil: Matius 26: 36 – 46.
Di Taman Getsemani
Selepas itu Isa pergi bersama mereka ke sebuah tempat bernama Getsemani, lalu Dia berkata kepada mereka, ‘Duduklah di sini sementara Aku berdoa di sana.’ Isa membawa bersama-Nya Petrus dan kedua-dua anak Zebedeus. Dia mula berdukacita dan amat berpilu hati. Dia berkata kepada mereka, ‘Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini berjaga bersama-Ku.’
Isa pergi jauh sedikit dari situ lalu sujud menyembamkan muka ke tanah dan berdoa, ‘Ya Bapa-Ku, kalaulah dapat, edarkanlah cawan ini daripada-Ku; namun, biarlah kehendak-Mu berlaku, bukan kehendak-Ku.’
Kemudian Dia pergi kepada pengikut-pengikut-Nya dan mendapati mereka telah tertidur; lalu Dia berkata kepada Petrus, ‘Apa? Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga bersama-Ku?’ Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.’
Bagi kali kedua, Dia pergi dan berdoa, ‘Ya Bapa-Ku, jika cawan ini tidak mungkin beredar daripada-Ku melainkan Kuminum, biarlah kehendak-Mu berlaku.’
Selepas itu Dia mendapati mereka tidur lagi, kerana mata mereka sungguh mengantuk. Dia pun meninggalkan mereka dan pergi berdoa lagi, bagi kali ketiga. Dia mengucapkan kata-kata yang sama.
Setelah itu Dia mendapatkan pengikut-pengikut-Nya lalu berkata, ‘Adakah kamu masih tidur dan berehat? Lihatlah, masanya telah menjelang, dan Putera Insan sedang dikhianati untuk diserahkan ke tangan orang berdosa. Bangunlah, ayuh kita pergi. Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba.’
Petikan dari Kitab Injil: Lukas 22: 39 – 46.
Isa Berdoa
Isa meninggalkan tempat itu lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Pengikut-pengikut-Nya pergi bersama Dia. Sesampainya ke tempat itu, Dia berkata kepada mereka, ‘Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.’ Isa pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa. ‘Ya Bapa, jikalau berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.’ Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya. Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah.
Isa bangun daripada berdoa, dan balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Didapati-Nya mereka tertidur kerana sangat sedih. Dia berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda.’
