Petikan dari Kitab Zabur Surah 51.
Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud apabila ditegur oleh Natan kerana berzina dengan Batsyeba.
Kasihanilah aku, Ya Allah, demi kasih setia-Mu yang kekal;
demi belas kasih-Mu yang melimpah hapuskanlah dosaku.
Bersihkan aku daripada kejahatanku, sucikan aku daripada dosaku.
Kerana aku mengakui kesalahanku, dan sentiasa sedar akan dosaku.
Kepada-Mu, hanya kepada-Mu, aku berdosa dan melakukan kejahatan di pandangan-Mu, maka Engkau didapati benar dalam kata-kata-Mu, dan penghakiman-Mu tidak bercela.
Aku telah dilahirkan dalam kejahatan, dan dalam dosa ibuku menghamilkan aku.
Engkau menghendaki kebenaran dalam diri;
dan di lubuk jiwaku Engkau akan mengajarku mengenal kebijaksanaan.
Bersihkan aku dengan zufa, supaya aku suci;
basuhlah aku sehingga lebih putih daripada salji.

Perdengarkan kegembiraan dan keriaan kepadaku;
supaya tulang-tulangku yang Kaupatahkan dapat bersukacita.
Sembunyikan wajah-Mu daripada dosaku dan hapuskan segala kejahatanku.
Ciptakan hati yang bersih dalam diriku, Ya Allah, dan pulihkan semangat waja dalam jiwaku.
Jangan singkirkan aku dari hadirat-Mu dan jangan ambil Roh Suci-Mu daripadaku.
Bahagiakan aku semula dengan penyelamatan-Mu dan kuatkan aku dengan Roh-Mu yang pemurah.
Maka aku akan mengajar orang yang ingkar tentang jalan-Mu, dan orang berdosa akan kembali taat kepada-Mu.
Selamatkan aku daripada kesalahan menumpahkan darah, Ya Allah, Allah Penyelamatku, maka suaraku akan lantang menyanyikan kebaikan-Mu.
Ya Tuhan, bukakan mulutku, aku akan mengisytiharkan puji-pujian bagi-Mu.
Kalaulah Engkau bersukacita dengan korban, tentu kupersembahkan;
Engkau tidak berkenan akan korban yang dibakar.
Korban untuk Allah ialah hati yang hancur;
hati yang hancur dan sesal, Ya Allah, tidak akan Kauremehkan.
Limpahkanlah rahmat-Mu kepada Sion, Ya Allah;
binalah tembok-tembok Baitulmaqdis.
Maka Engkau akan berkenan dengan persembahan yang benar, dengan korban yang dibakar;
mereka akan mempersembahkan lembu korban di mazbah-Mu.