Kisah Allah Menguji Nabi Ibrahim

Pernahkah anda dengar kisah Nabi Ibraham diuji Allah?

Dari Kitab Taurat Kejadian 22:1-19

1 Selepas pelbagai peristiwa itu, Allah menguji Ibrahim. Firman-Nya kepadanya, “Ibrahim.” Jawabnya, “Ya, aku ada di sini.” 2 Firman-Nya, “Bawalah anakmu, anak tunggal yang kamu kasihi, iaitu Ishak,a dan pergilah ke Tanah Moria. Persembahkanlah dia di sana sebagai korban bakaran, di atas salah sebuah gunung yang akan Kusebutkan kepadamu.” 3 Ibrahim pun bangun pagi-pagi. Dia memasang pelana pada keldainya lalu mengajak dua orang hambanya untuk menyertainya, dan juga Ishak, anaknya. Dia membelah kayu untuk korban bakaran lalu segera berangkat menuju tempat yang disebutkan Allah kepadanya. 4 Pada hari ketiga, ketika Ibrahim melayangkan pandangannya, kelihatanlah tempat itu dari jauh. 5 Maka kata Ibrahim kepada hamba-hambanya, “Tinggallah di sini dengan keldai ini. Aku dan anak ini hendak pergi ke sana. Kami akan menyembah Tuhan dan kemudian akan kembali lagi kepadamu.” 6 Ibrahim mengambil kayu untuk korban bakaran dan meletakkannya pada bahu Ishak, anaknya. Dia sendiri membawa api dan sebilah pisau. Lalu berjalanlah kedua-duanya bersama-sama. 7 Kata Ishak kepada Ibrahim, ayahnya, “Ayah!” Jawabnya, “Ya, anakku?” Kata Ishak, “Di sini ada api dan kayu api, tetapi di manakah anak domba yang akan dikorbankan?” 8 Jawab Ibrahim, “Allah sendirilah yang akan menyediakan bagi diri-Nya anak domba untuk korban bakaran itu, anakku.” Lalu berjalanlah kedua-duanya bersama-sama.
9 Sesampainya mereka di tempat yang disebutkan Allah kepadanya, Ibrahim mendirikan sebuah mazbah, iaitu tempat membakar korban. Dia mengatur kayu bakar, mengikat Ishak, anaknya, lalu meletakkannya di atas kayu api, di atas mazbah itu. 10 Kemudian Ibrahim menghulurkan tangannya, mengambil pisau untuk menyembelih anaknya. 11 Akan tetapi, malaikat Allah berseru kepadanya dari langit, “Ibrahim! Ibrahim!” Jawabnya, “Ya, aku ada di sini.” 12 Firman-Nya, “Jangan mudaratkan anak itu dan jangan kauapa-apakan dia, kerana sekarang Aku tahu bahawa kamu bertakwa kepada Allah dan reda menyerahkan anakmu, anakmu yang tunggal itu, kepada-Ku.” 13 Apabila Ibrahim mengangkat mukanya dan mengamati di sekelilingnya, nampaklah di belakangnya seekor domba jantan yang tanduknya tersangkut di dalam belukar. Ibrahim pergi mengambil domba jantan itu, lalu menjadikannya persembahan korban bakaran untuk menggantikan anaknya. 14 Maka Ibrahim menamakan tempat itu “Allah menyediakan.” Oleh itu, sehingga sekarangpun orang mengatakan, “Di atas gunung Allah, akan disediakan.”
15 Kemudian untuk kali kedua malaikat Allah berseru kepada Ibrahim dari langit, 16 sabda-Nya, “Demi diri-Ku sendiri Aku bersumpah, demikianlah firman Allah, kerana kamu telah melakukan hal ini dan dengan reda menyerahkan kepada-Ku anakmu, anak tunggalmu itu, 17 maka pastilah Aku memberkatimu dan pastilah Aku memperbanyak keturunanmu seperti bintang di langit dan seperti pasir di tepi laut. Keturunanmu akan menguasai segala kubu musuh mereka, 18 dan melalui benihmu semua bangsa di bumi akan diberkati, kerana kamu telah mematuhi kata-kata-Ku.” 19 Setelah itu, kembalilah Ibrahim kepada hamba-hambanya. Mereka pun bersiap-siap lalu pergi bersama-sama ke Bersyeba. Kemudian menetaplah Ibrahim di Bersyeba.

Kongsi artikel dengan kawan ...

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email