Ibarat Tentang Penyewa Ladang

Petikan dari Kitab Injil: Markus 12: 1 – 12.

Ibarat Tentang Penyewa Ladang

Setelah itu Dia mula berkata-kata kepada mereka melalui ibarat: ‘Seorang peladang menanam anggur, memasang pagar sekeliling ladangnya, menggali lubang untuk tempat memeras anggur, dan membina menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggurnya kepada beberapa orang lalu pergi ke sebuah negeri yang jauh. Apabila tiba musim mengumpulkan hasil tanaman anggur, tuan punya ladang itu menghantar seorang hambanya untuk meminta bahagiannya daripada hasil itu. Para penyewa ladang menangkap dan memukul hamba itu lalu menyuruhnya pergi dengan tangan kosong. Tuan punya ladang menghantar seorang lagi hambanya. Mereka memukulnya, menyebabkannya luka di kepala dan menyuruhnya pergi setelah diperlakukan sebegitu kejinya. Selepas itu tuan punya ladang menghantar seorang lagi hambanya, dan mereka membunuh hamba itu. Ramai lagi dihantar, ada yang dibunuh dan ada yang dipukul.

‘Oleh yang demikian, kerana dia masih ada seorang putera yang amat dikasihinya, dia menghantarnya sebagai utusan terakhir, sambil berkata dalam hatinya, “Mereka akan menghormati puteraku.”

‘Tetapi para penyewa ladang berkata sesama sendiri, “Ini warisnya. Mari kita bunuh dia, supaya harta warisannya menjadi milik kita.” Mereka pun menangkap dan membunuhnya lalu mencampakkannya ke luar ladang itu.

‘Jadi, apa yang akan dilakukan oleh tuan punya ladang anggur itu? Dia akan datang dan membinasakan para penyewa itu, lalu menyerahkan ladang anggur itu kepada orang lain. Belum pernahkah kamu baca di dalam Kitab Suci:

‘ “Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru;

Inilah perbuatan Allah, sungguh hebat di mata kami.” ’

Mereka ingin menangkap Isa tetapi takut akan orang ramai. Mereka tahu ibarat itu menyindir mereka. Mereka meninggalkan-Nya dan pergi dari situ.

Show More
Back to top button