Iman Yang Membawa Mukjizat

“Jangan takut, percaya sahaja.” – Markus 5:21 – 43
Seorang Anak Perempuan
Setelah itu, Isa kembali menyeberang laut dengan perahu. Setiba-Nya di pantai sebelah sana, Dia dikerumuni orang yang ramai sekali. Datanglah seorang bernama Yairus, ketua saumaah di situ. Ketika dia melihat Isa, dia sujud di hadapan-Nya dan merayu, “Anak perempuanku sakit tenat, hampir mati. Tolonglah datang, letakkan tangan-Mu padanya, supaya dia sembuh dan dapat terus hidup.” Isa pun pergi bersama Yairus.
Iman Seorang Pesakit Pendarahan
Begitu ramainya orang yang mengikut Isa sehingga Dia diasak dari semua pihak. Di situ ada seorang wanita yang menghidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia telah menghabiskan segala hartanya untuk dirawat oleh ramai tabib tetapi tidak sembuh, malah semakin parah keadaannya. Wanita itu telah banyak mendengar tentang Isa. Oleh itu, dia masuk ke tengah-tengah orang ramai itu dan mendekati Isa dari belakang lalu menyentuh jubah-Nya. “Kiranya dapat kusentuh jubah-Nya,” kata wanita itu, “tentu aku akan sembuh.” Dengan serta-merta pendarahannya berhenti. Dia merasakan badannya sudah sembuh. Pada saat itu Isa sedar ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya lalu Dia bertanya, “Siapa yang menyentuh jubah-Ku?” Para pengikut-Nya berkata, “Ya Junjungan, lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Engkau. Bagaimana Engkau boleh bertanya siapa yang menyentuh-Mu?” Tetapi Isa memandang sekeliling-Nya, mencari orang yang telah menyentuh-Nya itu. Wanita itu mengetahui apa yang telah terjadi kepada dirinya. Dia gementar ketakutan, lalu tampil dan sujud kepada Isa serta menceritakan segala-galanya. Isa berkata kepadanya, “Hai anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu. Pergilah dengan sejahtera dan sembuhlah daripada penyakitmu.”
Bangun Dari Tidur

Sedang Isa berkata-kata itu, beberapa orang pesuruh datang daripada keluarga ketua saumaah dan memberitahu Yairus, “Anak perempuan tuan sudah meninggal. Usahlah tuan susahkan Tuan Guru lagi.” Isa tidak menghiraukan kata-kata itu. Dia berkata kepada ketua saumaah, “Jangan takut, percaya sahaja.” Lalu Isa tidak membenarkan sesiapa pun mengikut-Nya kecuali Petrus, Yakobus dan Yahya, saudara Yakobus. Apabila tiba di rumah ketua saumaah, Isa melihat keadaan yang kelam-kabut dan mendengar ratap tangis yang kuat. Isa masuk lalu berkata kepada mereka, “Mengapa kelam-kabut dan menangis? Anak itu tidak mati, cuma tidur.” Tetapi mereka mentertawakan Isa. Setelah menyuruh mereka semua keluar, Isa mengajak ibu bapa anak itu dan pengikut – pengikut-Nya masuk ke bilik tempat anak itu terbaring. Isa memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, “Talitha kum!” (maksudnya, “Anak perempuan, Aku berkata kepadamu, bangunlah!”). Anak perempuan itu segera bangkit lalu berjalan (kerana umurnya sudah dua belas tahun). Mereka semua sungguh kagum. Tetapi dengan tegas Isa melarang mereka memberitahu sesiapa tentang perkara itu, lalu menyuruh mereka memberi anak itu makan.
