
Isa Menunjukkan Diri-Nya kepada Pengikut-Nya
Petikan dari Kitab Injil: Lukas 24: 36 – 49.
Semasa mereka berkata-kata tentang segala perkara ini, Isa sendiri berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata kepada mereka, ‘Sejahteralah kamu!’
Mereka terkejut dan berasa sangat takut kerana menyangka mereka melihat hantu. Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Apakah sebabnya kamu takut? Mengapakah hatimu ragu-ragu? Tengoklah tangan dan kaki-Ku. Inilah Aku. Sentuhlah Aku dan tengok. Hantu tidak berdaging dan bertulang sebagaimana yang kamu lihat ada pada-Ku.’
Setelah Dia berkata demikian, Dia menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka. Mereka masih tidak dapat percaya kerana terlalu gembira dan takjub. Isa pun bertanya kepada mereka, ‘Adakah kamu mempunyai makanan di sini?’ Mereka memberi Dia sepotong ikan yang telah dimasak, lalu Dia mengambilnya dan makan di hadapan mereka semua.
Kemudian, Dia berkata kepada mereka, ‘Inilah perkara-perkara yang telah Aku katakan kepadamu semasa Aku masih bersamamu dahulu: Segala perkara yang tersurat tentang Aku dalam Taurat Musa, kitab-kitab nabi dan Kitab Zabur pasti akan berlaku.’
Lalu Dia membuka pintu pemahaman mereka supaya mereka mengerti maksud Kitab Suci. Dia berkata lagi, ‘Demikianlah yang tersurat: Bahawa al-Masih harus menderita lalu bangkit semula daripada maut pada hari yang ketiga, dan perkhabaran tentang pertaubatan dan pengampunan dosa akan diisytiharkan demi nama-Nya kepada semua bangsa, mulai di Baitulmaqdis. Kamulah saksi segala perkara ini. Dan Aku akan mengurniakan pemberian yang dijanjikan oleh Bapa-Ku kepadamu. Tetapi, tunggulah di kota ini sehingga kamu diperlengkapi dengan kuasa daripada Allah.’
