Kelahiran Ishak

Petikan dari Kitab Taurat:
Kejadian 17: 15 – 21 & Kejadian 21: 1 – 7.

Kemudian Allah berfirman kepada Abraham,

“Jangan lagi panggil isterimu Sarai; mulai sekarang namanya Sara. Aku akan memberkati dia dan mengurniai engkau seorang anak lelaki yang akan dilahirkan oleh Sara. Aku akan memberkati Sara, dan dia akan menjadi ibu bangsa-bangsa. Di kalangan keturunannya akan ada raja-raja.”

Abraham bersujud, tetapi dia tertawa ketika berfikir, “Mana mungkin seorang lelaki yang sudah berumur seratus tahun mendapat anak? Mana mungkin Sara melahirkan anak setelah berumur sembilan puluh tahun?”

Oleh itu dia berkata kepada Allah, “Lebih baik Ismael saja yang menjadi warisku.”

Tetapi Allah berfirman,

“Tidak. Isterimu Sara akan melahirkan seorang anak lelaki untukmu dan engkau akan menamakan dia Ishak. Aku akan setia kepada perjanjian-Ku dengan anak itu dan dengan keturunannya selama-lamanya; perjanjian itu abadi. Aku sudah mendengar permintaanmu untuk Ismael. Oleh itu Aku akan memberkati dia dan memberi dia banyak anak dan keturunan. Dia akan menjadi nenek moyang dua belas ketua suku, dan Aku akan menjadikan keturunannya suatu bangsa yang besar. Tetapi Aku akan memegang perjanjian-Ku dengan anak lelakimu, Ishak, yang akan dilahirkan oleh Sara, kira-kira pada masa seperti ini tahun hadapan.”

TUHAN memberkati Sara sebagaimana yang sudah dijanjikan-Nya. Pada masa yang telah ditentukan Allah, ketika Abraham sudah tua, Sara mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Abraham menamakan anak itu Ishak. Ketika Ishak berumur lapan hari, Abraham menyunatnya, menurut perintah Allah. Abraham berumur  tahun ketika Ishak dilahirkan.

Sara berkata, “Allah sudah membuat aku tertawa kerana gembira. Setiap orang yang mendengar hal ini akan tertawa bersama-samaku.”

Kemudian dia berkata lagi, “Siapakah dahulunya dapat berkata kepada suamiku bahawa aku akan menyusui anak? Namun aku sudah melahirkan juga seorang anak lelaki untuk dia ketika umurnya sudah lanjut.”

Show More

Artikel Yg Berkaitan

Back to top button