Penciptaan manusia lelaki dan perempuan
1 Demikianlah diselesaikan penciptaan langit dan bumi serta segala isinya.
2 Setelah Allah siap menyelesaikan kerja penciptaan-Nya pada hari ketujuh itu, Dia pun beristirahat daripada segala pekerjaan yang telah dibuat-Nya itu.
3 Lalu Allah memberkati hari ketujuh itu dan menguduskannya, kerana pada hari itulah Dia berhenti daripada segala kerja penciptaan yang telah dibuat-Nya itu.
4 Demikianlah riwayat penciptaan langit dan bumi. Pada masa Allah, Al-Khalik, menjadikan bumi dan langit,
5 belum ada rumpun semak dan belukar apa-apa pun di bumi, belum muncul tumbuh-tumbuhan apa-apa pun di padang, kerana Allah, Al-Khalik, belum menurunkan hujan ke bumi, dan belum ada orang yang mengusahakan tanah itu;
6 tetapi dari bumi ada kabus yang naik ke atas lantas membasahi seluruh permukaan bumi.
7 Ketika itulah Allah, Al-Khalik, membentuk manusia daripada debu tanah dan menghembuskan nafas hidup ke dalam hidungnya lalu manusia menjadi makhluk yang hidup.
Nabi Adam dan Siti Hawa di Taman Eden
8 Selanjutnya Allah, Al-Khalik, membuat taman di Eden di sebelah timur dan di situlah Dia menempatkan manusia yang dibentuk-Nya itu.
9 Lalu dari bumi itu
Allah, Al-Khalik, menumbuhkan setiap jenis pokok ada yang menarik untuk dipandang dan yang baik untuk dimakan buahnya, termasuk juga pokok hayat di tengah-tengah taman itu serta pokok pengetahuan mengenai perkara yang baik dan yang jahat.
10 Sebuah sungai yang mengalir dari Eden mengairi taman dan dari situ bercabanglah sungai itu menjadi empat batang sungai.
11 Sungai pertama yang bernama Pison itu mengalir mengelilingi seluruh Tanah Hawila di mana terdapat emas.
12 Emas di situ baik mutunya dan ada juga permata damar dan oniks.
13 Sungai kedua yang bernama Gihon, mengalir mengelilingi seluruh Tanah Kush.
14 Sungai ketiga yang bernama Tigris pula mengalir di sebelah timur Asyur. Sungai yang keempat ialah Efrat.
15 Allah, Al-Khalik, mengambil manusia itu dan menempatkannya di dalam Taman Eden untuk mengusahakan dan memelihara taman itu.
16 Lalu Allah, Al-Khalik, memberikan perintah kepada manusia itu, firman-Nya, “Engkau bebas memakan daripada kesemua pokok di dalam taman ini,
17 tetapi jangan kamu makan daripada pokok pengetahuan tentang perkara yang baik dan yang jahat kerana pada hari engkau memakannya, engkau pasti mati.”
18 Maka Allah, Al-Khalik, pun berfirman, “Tidak baik manusia itu bersendirian. Aku akan menjadikan seorang penolong yang sepadan baginya.”
19 Lalu daripada tanah Allah, Al-Khalik, membentuk segala binatang di padang dan segala burung di udara lalu membawa semuanya kepada manusia untuk melihat bagaimana manusia itu menamakan setiap satu. Apa-apa pun nama yang diberikan manusia itu kepada setiap mergastua dan unggas, itulah yang menjadi namanya.
20 Maka manusia itu menamakan segala ternakan, burung-burung di udara, dan segala haiwan di padang, namun bagi dirinya manusia itu tiada seorang pun penolong yang sepadan dengannya.
21 Maka
Allah, Al-Khalik, membuat manusia itu tertidur dengan lena dan pada waktu itulah Allah mengambil sebatang tulang rusuknya lalu menutup ruang asal tulang itu dengan daging.
22 Daripada tulang rusuk yang diambil-Nya daripada manusia itu Allah, Al-Khalik, membentuk seorang perempuan lalu membawanya kepada manusia itu.
23 Berkatalah manusia itu,
“Inilah dia! Tulang daripada tulangku,
dan daging daripada dagingku.
Dia akan dipanggil Perempuan
kerana dia diambil daripada Lelaki.”
24 Atas sebab itulah seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya lalu bersatu dengan isterinya, sehingga mereka berdua menjadi satu.
25 Kedua-dua lelaki dan isterinya itu bertelanjang bulat tetapi mereka tidak berasa malu.