9 Inilah riwayat Nuh. Dalam kalangan yang sezaman dengannya, Nuh seorang yang benar dan tidak bercela. Dia hidup akrab dengan Allah.
10 Nuh dikurniai tiga orang anak lelaki, iaitu Sem, Ham, dan Yafet.
11 Pada ketika itu, bumi sudah rosak akhlak penghuninya di hadapan Allah dan penuh dengan keganasan.
12 Allah mengamati bumi, dan sesungguhnya betapa rosaknya bumi kerana manusia hidup bergelumang dengan dosa.
13 Maka berfirmanlah Allah kepada Nuh, “Aku telah menetapkan bahawa kesemua makhluk yang hidup mesti mati kerana bumi ini penuh dengan keganasan akibat perbuatan mereka. Sesungguhnya, Aku akan memusnahkan mereka bersama-sama bumi ini.
14 Maka kamu perlu membuat sebuah bahtera daripada kayu sipres. Buatlah bilik-bilik di dalam bahtera itu yang mesti dilapisi dengan gegala di bahagian luar dan dalamnya.
15 Kamu mesti membuat bahtera itu mengikut ukuran ini: panjangnya 300 hasta, lebarnya 50 hasta, dan tingginya 30 hasta
16 Buatlah lubang cahaya bagi bahtera itu dan semua binaan mesti ada ruang sehasta dari bahagian tertinggi bahtera. Pasangkan pintu bahtera pada rusuknya. Buatlah bahtera itu bertingkat bawah, tengah, dan atas.
17 Ketahuilah, Aku akan mendatangkan banjir untuk melanda bumi demi memusnahkan semua makhluk yang bernyawa di bawah langit dan semua hidupan di bumi akan mati.
18 Tetapi, Aku mengikat perjanjian-Ku dengan kamu. Kamu berserta anak-anakmu, isterimu, dan isteri anak-anakmu akan masuk ke dalam bahtera itu.
19 Sepasang, iaitu jantan dan betina daripada segala makhluk yang hidup mesti kamu bawa masuk ke dalam bahtera, supaya kesemuanya dapat tetap hidup bersama-samamu.
20 Sepasang daripada berbagai-bagai jenis burung, berbagai-bagai jenis haiwan, dan segala jenis binatang melata di bumi akan datang kepadamu supaya kesemuanya dapat tetap hidup.
21 Kamu juga mesti mengumpulkan segala jenis bahan yang dapat dimakan dan menyimpannya. Itulah yang akan menjadi makanan bagimu dan bagi kesemua makhluk itu.”
22 Maka sebagaimana yang diperintahkan Allah kepadanya, sebegitulah yang dilakukan oleh Nuh.