Penciptaan daripada Tiada kepada Ada
1 Pada mulanya Allah menciptakan langit dan bumi.
2 Bumi belum lagi berbentuk dan kosong; kegelapan menyelubungi permukaan samudera, dan Roh Allah berlayangan di atas permukaan air.
Penciptaan dalam enam hari
3 Berfirmanlah Allah: “Jadilah cahaya.” Lalu terus ada cahaya.
4 Allah melihat cahaya itu baik, lalu Dia memisahkan cahaya itu daripada kegelapan.
5 Allah menamakan cahaya itu siang, dan kegelapan itu Dia namakan malam. Maka jadilah malam dan juga pagi, itulah satu hari, dan yang pertama.
6 Berfirmanlah Allah: “Jadilah cakerawala, iaitu lengkung luas di tengah-tengah segala air itu untuk memisahkan air daripada air.”
7 Maka Allah menjadikan cakerawala lantas memisahkan air yang ada di bawah cakerawala daripada air yang ada di atasnya. Terjadilah yang sedemikian itu.
8 Lalu Allah menamakan cakerawala itu langit. Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang kedua.
9 Berfirmanlah Allah: “Mengalir dan berkumpullah kesemua air yang di bawah langit di satu tempat, sehingga kelihatan tanah yang kering.” Maka terjadilah yang sedemikian itu.
10 Lalu Allah menamakan bahagian yang kering itu darat, dan air yang terkumpul itu dinamakan-Nya laut. Allah melihat semua itu baik.
11 Berfirmanlah Allah: “Hendaklah tanah menumbuhkan pelbagai tunas muda, tumbuhan yang berbiji, dan segala jenis pokok buah-buahan yang menghasilkan buah yang berbiji, supaya jenisnya membiak dan terus bertumbuh di bumi.” Maka terjadilah yang sedemikian itu.
12 Lalu tanah pun menumbuhkan pelbagai tunas muda, segala jenis tumbuh-tumbuhan yang berbiji dan segala jenis pokok buah-buahan yang menghasilkan buah yang berbiji. Maka Allah melihat semua itu baik.
13 Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang ketiga.
14 Berfirmanlah Allah: “Jadilah penerang-penerang yang mengisi cakerawala untuk memisahkan siang daripada malam dan jadilah tanda-tanda yang menunjukkan pelbagai musim dan hari serta tahun,
15 dan jadilah penerang-penerang di cakerawala demi menerangi bumi.” Terjadilah yang sedemikian itu.
16 Maka Allah menjadikan dua penerang besar, dengan penerang yang lebih besar menguasai siang dan yang lebih kecil menguasai malam. Allah juga menjadikan bintang-bintang.
17 Allah menempatkan kesemua itu di cakerawala untuk menerangi bumi,
18 dan untuk menguasai siang dan malam, dan juga untuk memisahkan cahaya daripada kegelapan. Maka Allah melihat bahawa semua itu baik.
19 Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang keempat.
20 Berfirmanlah Allah: “Hendaklah berkeriapan makhluk yang hidup di dalam air, dan hendaklah burung-burung berterbangan di ruang cakerawala di atas bumi.”
21 Maka Allah menciptakan pelbagai binatang laut yang besar dan segala jenis hidupan yang bergerak, yang berkeriapan di dalam air serta segala jenis burung yang bersayap, dan Allah melihat semua itu baik.
22 Lantas Allah memberkati kesemuanya sambil berfirman: “Berkembang biaklah dan penuhilah air lautan itu, dan hendaklah bertambah banyak burung di bumi.”
23 Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang kelima.
24 Berfirmanlah Allah: “Hendaklah bumi mengeluarkan segala jenis makhluk yang hidup, ternakan dan binatang melata serta segala jenis binatang liar.” Terjadilah yang sedemikian itu.
25 Allah menjadikan segala jenis binatang liar dan segala jenis ternakan serta segala jenis binatang melata di muka bumi. Maka Allah melihat semua itu baik.