Musa Meramalkan Kematian Anak Lelaki Sulung

Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 11: 1 – 10.
Musa Meramalkan Kematian Anak Lelaki Sulung

Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku akan menjatuhkan hanya satu hukuman lagi kepada raja Mesir dan rakyatnya. Selepas itu, dia akan membenarkan kamu pergi. Malah, dia akan menghalau kamu dari sini. Oleh itu, berucaplah kepada segenap umat Israel; suruhlah mereka semua meminta barang perhiasan emas dan perak daripada jiran mereka.” TUHAN menyebabkan orang Mesir menghormati orang Israel. Para pegawai dan rakyat Mesir sangat menghormati Musa.

Kemudian Musa berkata kepada raja, “Inilah yang difirmankan TUHAN, ‘Pada kira-kira tengah malam, Aku akan menjelajahi negeri Mesir. Setiap anak lelaki sulung di Mesir akan mati, mulai daripada putera sulung raja yang menjadi waris takhta, hingga kepada anak lelaki sulung abdi perempuan yang mengisar biji-bijian. Anak sulung semua ternakan juga akan mati. Tangisan yang kuat akan terdengar di seluruh Mesir; hal itu belum pernah terjadi dan tidak akan berlaku lagi. Tetapi di kalangan orang Israel, baik manusia mahupun binatang, tidak akan diganggu. Dengan itu, engkau akan tahu bahawa Aku, TUHAN, membuat perbezaan antara orang Mesir dengan orang Israel.’ ” Akhirnya Musa berkata, “Semua pegawai tuanku akan datang dan bersujud di hadapan hamba. Mereka akan memohon supaya hamba membawa seluruh bangsa hamba meninggalkan negeri ini. Selepas itu hamba akan pergi.” Lalu dengan sangat marah, Musa meninggalkan raja.

TUHAN sudah berfirman kepada Musa, “Raja tidak akan mendengarkan kata-katamu, supaya Aku dapat melakukan lebih banyak mukjizat di negeri Mesir.” Musa dan Harun melakukan segala mukjizat itu di hadapan raja, tetapi TUHAN menyebabkan raja itu berdegil, sehingga raja tidak mahu membenarkan orang Israel meninggalkan negerinya.

Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 12: 29 – 51.
Anak Sulung Dibunuh

Pada tengah malam itu TUHAN membunuh semua anak lelaki sulung di Mesir, mulai daripada putera raja yang menjadi waris takhta hingga kepada anak lelaki sulung orang tawanan di dalam penjara bawah tanah. Semua anak sulung binatang pun dibunuh. Pada malam itu raja dan semua pegawainya, serta semua orang Mesir terjaga. Tangisan yang kuat terdengar di seluruh negeri Mesir, kerana di setiap rumah terdapat kematian anak lelaki. Pada malam itu juga, raja memanggil Musa dan Harun lalu bertitah, “Pergilah, kamu dan semua orang Israel! Tinggalkan negeri beta! Pergilah beribadat kepada TUHAN kamu, seperti yang kamu minta. Bawalah domba, kambing dan lembu kamu dan tinggalkan tempat ini. Mohonlah berkat untuk beta juga.”

Orang Mesir mendesak orang Israel agar meninggalkan negeri mereka dengan segera. Orang Mesir berkata, “Kami semua akan mati jika kamu tidak meninggalkan tempat ini.” Oleh itu orang Israel mengisi mangkuk mereka dengan adunan roti yang tidak beragi, membungkusnya dengan kain, lalu memikul bungkusan itu. Orang Israel telah melakukan apa yang disuruh oleh Musa. Mereka telah meminta barang kemas yang dibuat daripada perak dan emas, serta pakaian daripada orang Mesir. TUHAN menyebabkan orang Mesir menghormati orang Israel sehingga orang Mesir memberikan segala permintaan orang Israel. Dengan demikian orang Israel merampas kekayaan orang Mesir.

Orang Israel Meninggalkan Negeri Mesir

Orang Israel berangkat dengan berjalan kaki dari kota Raamses ke kota Sukot. Mereka berjumlah , orang lelaki, tidak termasuk perempuan dan anak-anak. Mereka membawa banyak lembu, domba, dan kambing. Sejumlah besar orang asing juga mengikut mereka. Mereka membakar roti yang tidak beragi daripada adunan yang dibawa dari Mesir. Mereka diusir dari situ dengan mendadak, sehingga tidak sempat menyiapkan bekal atau menyediakan roti yang beragi.

Umat Israel tinggal di Mesir selama  tahun. Apabila genap tahun yang ke-, semua suku daripada umat TUHAN meninggalkan negeri Mesir. Pada malam itu TUHAN terus-menerus berjaga untuk membawa mereka keluar dari negeri Mesir. Malam itu ditahbiskan bagi TUHAN untuk selama-lamanya sebagai malam ketika orang Israel pun harus berjaga.

Peraturan tentang Perayaan Paska

TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Inilah peraturan Perayaan Paska: Orang asing tidak boleh makan makanan Paska. Tetapi hamba yang kamu beli boleh makan makanan itu, jika dia sudah disunat. Penduduk sementara ataupun pekerja yang diupah tidak boleh makan makanan Paska. Seluruh makanan Paska itu mesti dimakan di dalam rumah, di tempat makanan itu disediakan. Makanan itu tidak boleh dibawa keluar. Jangan patahkan satu pun tulang binatang itu. Segenap umat Israel mesti merayakan perayaan ini. Orang yang tidak disunat tidak boleh makan makanan itu. Jika seorang asing tinggal bersama dengan kamu dan ingin merayakan Paska untuk menghormati TUHAN, terlebih dahulu kamu mesti menyunatkan semua orang lelaki dalam keluarga orang itu. Kemudian dia akan dianggap sebagai orang Israel asli dan boleh ikut dalam perayaan itu. Peraturan yang sama berlaku juga kepada orang Israel dan orang asing yang tinggal bersama dengan kamu.” Semua orang Israel mematuhi peraturan itu dan melakukan segala yang telah diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa dan Harun. Pada hari itu TUHAN membawa semua suku Israel keluar dari Mesir.

Show More
Back to top button