Nabi Nuh

Petikan dari Kitab Taurat:  Kejadian 6: 1 – 9: 17.​

Apabila manusia sudah bertambah banyak sehingga tercerai – ceraidi seluruh dunia, dan anak-anak perempuan dilahirkan, makhluk – makhluk ilahi nampak bahawa gadis – gadis itu cantik. Makhluk – makhluk ilahi itu mengahwini gadis-gadis yang disukai oleh mereka. Kemudian TUHAN berfirman,

“Aku tidak membenarkan manusia hidup selama-lamanya; mereka makhluk fana yang harus mati. Mulai sekarang umur mereka tidak akan lebih daripada  tahun.”

Pada zaman itu, dan juga selepas zaman itu, ada raksasa di bumi. Mereka keturunan gadis-gadis manusia yang berkahwin dengan makhluk-makhluk ilahi. Raksasa-raksasa itu pahlawan handalan dan termasyhur pada zaman dahulu kala.

TUHAN nampak betapa jahatnya manusia di bumi; fikiran mereka sentiasa dipenuhi kejahatan. Oleh itu TUHAN menyesal  kerana sudah menjadikan manusia dan menempatkan mereka di bumi. TUHAN begitu kecewa sehingga Dia berfirman,

“Aku akan membinasakan manusia yang sudah Kuciptakan itu, dan juga semua binatang serta burung, kerana Aku menyesal menciptakan semuanya.” Tetapi Nuh menyenangkan hati TUHAN.

Inilah riwayat Nuh. Dia mempunyai tiga orang anak lelaki, iaitu Sem, Yafet, dan Ham. Nuh tidak berbuat salah, dan dia satu-satunya orang yang baik pada zamannya. Dia hidup akrab dengan Allah, tetapi semua orang lain jahat di sisi Allah, dan kekejaman terdapat di mana-mana. Allah memandang dunia dan nampak kejahatan sahaja, kerana kehidupan semua manusia jahat.

Kemudian Allah berfirman kepada Nuh,

“Aku sudah mengambil keputusan untuk menamatkan hidup semua manusia. Aku akan membinasakan mereka berserta bumi, kerana bumi sudah penuh dengan kekejaman mereka. Binalah sebuah bahtera untukmu; sebuah bahtera daripada kayu keras. Buatlah bilik-bilik di dalamnya, dan lapisilah bahagian dalam dan luar bahtera itu dengan tar. Bahtera itu harus berukuran  meter panjang,  meter lebar, dan  meter tinggi. Buatlah bumbung pada bahtera itu, dan berilah jarak  sentimeter di antara bumbung dan dindingnya. Buatlah bahtera itu bertingkat tiga, dan pasanglah sebuah pintu di sisinya. Aku akan mendatangkan banjir untuk membinasakan setiap makhluk yang hidup di bumi. Segala sesuatu di bumi akan mati, tetapi Aku hendak membuat perjanjian dengan engkau. Masuklah ke dalam bahtera itu bersama-sama isterimu, anak-anakmu serta isteri-isteri mereka. –Bawalah seekor jantan dan seekor betina daripada setiap jenis burung dan binatang darat, yang kecil mahupun yang besar, supaya semua itu tidak turut binasa. Bawalah juga segala jenis makanan untukmu dan untuk semua binatang itu.” Nuh melakukan segala sesuatu yang diperintahkan Allah.

Kemudian TUHAN berfirman kepada Nuh,

“Aku mendapati engkau satu-satunya orang yang melakukan kehendak-Ku. Oleh itu masuklah ke dalam bahtera bersama-sama semua anggota keluargamu. –Bawalah tujuh pasang daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang yang halal, tetapi hanya satu pasang daripada tiap-tiap jenis yang haram. Lakukanlah hal itu supaya daripada setiap jenis binatang dan burung ada yang terselamat, lalu dapat membiak semula di bumi. Tujuh hari lagi Aku akan menurunkan hujan yang tidak akan berhenti selama empat puluh hari dan empat puluh malam, supaya semua makhluk hidup yang sudah Aku ciptakan itu binasa.” Lalu Nuh melakukan segala yang diperintahkan TUHAN.

Nuh berumur enam ratus tahun ketika berlaku banjir di bumi. Nuh dan isterinya, bersama dengan anak-anaknya serta isteri-isteri mereka, masuk ke dalam bahtera untuk menyelamatkan diri daripada banjir. Seekor jantan dan seekor betina daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang, baik yang halal mahupun yang haram, masuk ke dalam bahtera bersama dengan Nuh, seperti yang diperintahkan oleh Allah. Tujuh hari kemudian banjir melanda bumi.

Ketika Nuh berumur enam ratus tahun, pada hari ketujuh belas, bulan kedua, segala mata air di bawah tanah terbelah. Segala pintu air di langit terbuka, lalu hujan turun selama empat puluh hari dan empat puluh malam. Pada hari itu juga, Nuh dan isterinya masuk ke dalam bahtera bersama dengan ketiga-tiga orang anak mereka, iaitu Sem, Yafet, dan Ham, serta isteri masing-masing. Bersama-sama mereka masuk pula setiap jenis binatang, baik yang jinak mahupun yang liar, yang besar mahupun yang kecil, dan juga setiap jenis burung. Seekor jantan dan seekor betina daripada tiap-tiap makhluk hidup masuk ke dalam bahtera bersama dengan Nuh, seperti yang diperintahkan oleh Allah. Selepas semuanya masuk, TUHAN menutup pintu bahtera.

Banjir terus – menerus melanda bumi selama empat puluh hari, dan air naik sehingga bahtera terapung. Air semakin naik sehingga bahtera terapung-apung pada permukaan air. Air masih naik sehingga meliputi gunung-gunung yang paling tinggi. Air terus-menerus naik sampai tujuh meter lebih tinggi daripada puncak gunung. TUHAN membinasakan semua makhluk yang hidup di bumi: manusia, burung, dan binatang darat yang kecil mahupun yang besar. Hanya Nuh dan semua yang ada bersama-sama dia di dalam bahtera tidak binasa. Air tidak kunjung surut selama seratus lima puluh hari.

Allah tidak melupakan Nuh dan semua binatang yang ada bersama-samanya di dalam bahtera. Allah membuat angin bertiup sehingga air mulai surut. Segala mata air di bawah tanah dan pintu air di langit ditutup. Hujan berhenti, lalu air semakin surut. Selepas seratus lima puluh hari, paras air tidak berapa tinggi lagi. Pada hari ketujuh belas bulan ketujuh, bahtera itu terkandas di sebuah puncak di banjaran Ararat. Air semakin surut dan pada  haripertama bulan kesepuluh, puncak- puncak gunung mula kelihatan.

Selepas empat puluh hari, Nuh membuka sebuah tingkap bahtera lalu melepaskan seekor burung gagak. Burung itu tidak kembali tetapi terbang kian ke mari sehingga air banjir surut sama sekali. Sementara itu, Nuh melepaskan seekor burung merpati untuk mengetahui sama ada air sudah surut. Oleh sebab air masih meliputi seluruh muka bumi, burung merpati itu tidak mendapat tempat untuk hinggap. Burung merpati itu kembali ke bahtera; Nuh menghulurkan tangannya lalu membawa burung itu ke dalam bahtera. Nuh menunggu selama tujuh hari, kemudian melepaskan burung itu semula. Pada petang hari, burung itu kembali kepada Nuh sambil membawa sehelai daun zaitun yang segar pada paruhnya. Dengan itu Nuh mengetahui bahawa air sudah surut. Dia menunggu selama tujuh hari lagi, lalu melepaskan merpati itu sekali lagi; kali ini merpati itu tidak kembali.

Ketika Nuh berumur  tahun, pada hari pertama bulan pertama, air telah surut sama sekali. Nuh membuka bumbung bahtera dan memandang di sekelilingnya. Dia mendapati permukaan tanah sudah mulai kering. Pada hari kedua puluh tujuh bulan kedua, bumi telah kering.

Kemudian Allah berfirman kepada Nuh,

“Keluarlah dari bahtera bersama-sama isterimu, anak-anakmu serta isteri-isteri mereka. Bawalah keluar semua burung dan binatang darat, yang kecil mahupun yang besar, supaya burung dan binatang itu dapat berkembang biak dan tersebar ke seluruh bumi.”

Nuh keluar dari bahtera bersama dengan isterinya, anak-anaknya serta isteri masing-masing. Semua burung dan binatang darat keluar dari bahtera, tiap-tiap jenis bersama dengan kelompok sejenisnya.

Nuh mendirikan sebuah mazbah untuk TUHAN. Dia mengambil seekor daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang yang halal, lalu di atas mazbah itu, dia mempersembahkan semuanya sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Bau harum korban itu menyenangkan hati TUHAN, lalu TUHAN berfirman di dalam hati,

“Aku tidak lagi mengutuk bumi kerana perbuatan manusia; Aku tahu bahawa sejak masa muda, fikiran manusia itu jahat. Aku tidak lagi membinasakan semua makhluk hidup, seperti yang telah Aku lakukan kali ini. Selagi bumi ini ada, akan ada masa menanam dan masa menuai, musim sejuk dan musim panas, musim kemarau dan musim hujan, siang dan malam.”

Allah memberkati Nuh dan anak-anaknya, serta berfirman kepada mereka,

“Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak supaya keturunan kamu mendiami seluruh bumi. Semua burung dan ikan, serta binatang lain akan takut kepada kamu; semuanya berada dalam kekuasaan kamu. Kini kamu boleh makan semuanya, serta tumbuh-tumbuhan hijau; Aku memberikan semua itu kepada kamu sebagai makanan. Hanya daging yang masih berdarahtidak boleh kamu makan, kerana nyawa itu terkandung di dalam darah. Setiap orang dan binatang yang membunuh manusia akan Kuhukum mati. Manusia diciptakan seperti Allah; oleh itu, sesiapa yang membunuh manusia akan dibunuh oleh manusia juga. Kamu harus mempunyai banyak anak cucu, supaya keturunan kamu dapat mendiami seluruh bumi.”

Allah berfirman kepada Nuh dan anak-anaknya,

“Sekarang Aku membuat perjanjian dengan kamu dan keturunan kamu, dan juga dengan semua makhluk hidup, iaitu burung dan binatang; semua yang keluar dari bahtera bersama dengan kamu. Inilah perjanjian-Ku dengan kamu. Aku berjanji bahawa semua makhluk hidup tidak akan dibinasakan oleh banjir lagi. Banjir tidak akan memusnahkan bumi lagi. Sebagai tanda perjanjian abadi yang Aku buat dengan kamu dan semua makhluk hidup, Aku menempatkan  pelangi-Ku di langit. Pelangi menjadi tanda perjanjian-Ku dengan dunia. Tiap-tiap kali Aku meliputi langit dengan awan dan pelangi itu kelihatan, Aku akan mengingat perjanjian-Ku dengan kamu dan dengan semua makhluk hidup, bahawa banjir tidak lagi akan membinasakan semua makhluk hidup. Apabila pelangi itu kelihatan di langit, Aku akan melihatnya dan mengingat perjanjian abadi antara Aku dan semua makhluk yang hidup di bumi. Itulah tanda perjanjian yang Aku buat dengan semua makhluk yang hidup di bumi.”

Show More
Back to top button