Orang Israel Dianiaya Di Mesir

Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 1: 1 – 22.
Orang Israel Dianiaya Di Mesir

Yakub yang juga dinamakan Israel, pergi ke Mesir bersama dengan anak-anaknya dan keluarga masing-masing. Anak-anak Yakub ialah Ruben, Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, Zebulon, Benyamin, Dan, Naftali, Gad, dan Asyer. Keturunan Yakub semuanya berjumlah tujuh puluh orang. Yusuf, anak Yakub, sudah berada di Mesir. Lama-kelamaan Yusuf dan saudara-saudaranya meninggal, demikian juga semua orang yang seangkatan dengan dia. Tetapi keturunan mereka, iaitu orang Israel, mempunyai anak yang banyak. Mereka beranak cucu sangat banyak, dan bilangan mereka bertambah dengan cepat sekali sehingga negeri Mesir penuh dengan mereka.

Kemudian seorang raja baru, yang tidak mengenal Yusuf mula memerintah negeri Mesir. Raja itu bertitah kepada rakyat, “Orang Israel sangat berbahaya bagi kita, kerana mereka banyak sekali dan lebih kuat daripada kita. Sekiranya berlaku peperangan, ada kemungkinan mereka bergabung dengan musuh untuk menentang kita, lalu lari meninggalkan negeri ini. Kita mesti mencari jalan supaya bilangan mereka tidak bertambah lagi.” Oleh itu orang Mesir melantik beberapa orang pengerah abdi untuk menindas orang Israel dengan kerja paksa. Orang Israel dipaksa membina kota Pitom dan Raamses yang dijadikan pusat penyimpanan perbekalan bagi raja Mesir. Tetapi semakin keras orang Mesir menindas orang Israel, semakin banyak pula bilangan mereka, dan mereka tersebar luas di seluruh negeri itu, sehingga orang Mesir takut kepada mereka. Orang Mesir menindas orang Israel dengan kejam, dan menyebabkan hidup mereka menderita. Tanpa belas kasihan, orang Israel dipaksa bekerja keras di projek-projek pembinaan dan di ladang-ladang.

Kemudian raja Mesir memberikan perintah kepada Sifra dan Pua, bidan-bidan yang menolong perempuan Ibrani bersalin. Raja Mesir bertitah, “Pada masa kamu menolong perempuan Ibrani bersalin, ingatlah akan hal ini: Jika bayi itu lelaki, bunuhlah dia. Jika bayi itu perempuan, biarkan dia hidup.” Tetapi bidan-bidan itu takut akan Allah. Mereka tidak mahu melaksanakan perintah raja, sebaliknya mereka membiarkan bayi lelaki hidup. Kemudian raja memanggil bidan-bidan itu dan bertanya, “Mengapa kamu melakukan hal ini? Mengapa kamu membiarkan bayi lelaki hidup?”

Mereka menjawab, “Perempuan Ibrani tidak seperti perempuan Mesir; perempuan Ibrani melahirkan anak dengan mudah saja. Sebelum bidan tiba, bayi sudah dilahirkan.” Oleh itu Allah memperlakukan bidan-bidan itu dengan baik dan mengurniakan keturunan kepada mereka, kerana mereka takut akan Allah. Orang Israel pun bertambah banyak dan kuat. Kemudian raja Mesir bertitah kepada segenap rakyat, “Tiap-tiap anak lelaki orang Ibrani mesti dibuang ke dalam Sungai Nil, tetapi semua anak perempuan mereka boleh dibiarkan hidup.”

Petikan dari Kitab Taurat: Keluaran 2: 1 – 15.
Kelahiran Musa

Pada masa itu seorang lelaki daripada suku Lewi berkahwin dengan seorang perempuan daripada suku itu juga. Kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki. Apabila dia melihat betapa comelnya bayi itu, dia menyembunyikan bayinya selama tiga bulan. Tetapi dia tidak dapat menyembunyikan bayinya lebih lama lagi. Oleh itu dia mengambil sebuah bakul yang dibuat daripada gelagah, lalu dia memakal bakul itu dengan gala-gala dan minyak tar supaya tidak dapat dimasuki air. Dia meletakkan bayinya di dalam bakul itu, lalu menaruhnya di tengah-tengah rumpun gelagah di pinggir sungai. Kakak bayi itu berdiri tidak berapa jauh dari situ untuk melihat apa yang akan berlaku kepada bayi itu.

Pada masa itu puteri raja turun ke sungai untuk bersiram, sementara dayang-dayangnya berjalan-jalan di pinggir sungai. Tiba-tiba puteri raja ternampak bakul di tengah-tengah rumpun gelagah. Puteri raja menyuruh seorang hamba perempuan untuk mengambil bakul itu. Puteri raja membuka bakul itu lalu nampak seorang bayi lelaki sedang menangis. Puteri raja berasa kasihan terhadap bayi itu dan berkata, “Inilah seorang daripada bayi Ibrani.”

Kemudian kakak bayi itu bertanya kepada puteri itu, “Tuan puteri, sudikah tuan puteri sekiranya hamba pergi mendapatkan seorang perempuan Ibrani untuk menyusui bayi ini?”

Puteri raja menjawab, “Baik, pergilah.” Gadis itu pun pergi dan memanggil ibu bayi itu sendiri. Puteri raja berkata kepadanya, “Ambillah bayi ini dan susuilah dia untukku; aku akan mengupah kamu.” Kemudian perempuan itu mengambil bayi itu dan menyusui dia. Apabila bayi itu besar, perempuan itu membawanya kepada puteri raja, lalu puteri raja menjadikan dia anak angkatnya. Puteri raja berkata, “Aku menamakan dia Musa, kerana aku telah menarik dia keluar dari air.”

Musa Melarikan Diri ke Midian

Apabila Musa sudah dewasa, dia keluar untuk melawat orang Ibrani, orang sebangsanya. Dia melihat bagaimana mereka dipaksa melakukan kerja yang berat. Musa juga nampak seorang Mesir memukul seorang Ibrani, orang bangsa Musa sendiri. Musa melihat di sekeliling, dan apabila dia nampak bahawa tiada sesiapa pun yang mengawasi dia, dia membunuh orang Mesir itu lalu menyembunyikan mayatnya di dalam pasir. Pada keesokan harinya Musa pergi ke sana lagi, lalu nampak dua orang Ibrani bergaduh. Musa bertanya kepada orang yang bersalah, “Mengapa engkau memukul orang sebangsamu sendiri?”

Orang itu menjawab, “Siapakah yang melantik kamu menjadi pemerintah dan hakim kami? Adakah kamu hendak membunuh aku sebagaimana kamu membunuh orang Mesir itu?” Musa berasa takut dan berfikir, “Tentu orang sudah mengetahui apa yang telah aku lakukan.” Apabila raja mendengar tentang peristiwa itu, raja cuba mencari jalan untuk membunuh Musa, tetapi Musa melarikan diri ke negeri Midian dan tinggal di sana.

Show More

Artikel Yg Berkaitan

Back to top button