Raja Sulaiman Membina Rumah Tuhan

Petikan dari Kitab: Taurat Surah 1 Raja-Raja 6: 1 – 38.
Raja Sulaiman Membina Rumah Tuhan

Selepas 480 tahun umat Israel meninggalkan Mesir, pada tahun keempat pemerintahan Raja Sulaiman, pada bulan Ziv, iaitu bulan kedua, Raja Sulaiman mula membina Rumah Tuhan. Ukuran bahagian dalam Rumah Tuhan adalah seperti berikut: panjangnya 27 meter, lebarnya 9 meter, dan tingginya 13.5 meter. Bilik di sebelah depan panjangnya 4.5 meter, dan lebarnya 9 meter, selebar Rumah itu juga. Tembok Rumah Tuhan mempunyai beberapa buah tingkap, yang ukuran sebelah luarnya lebih kecil daripada ukuran sebelah dalam. Pada tembok di sebelah luar, iaitu di sebelah kiri, kanan, dan belakang Rumah Tuhan, bilik-bilik yang bertingkat tiga dibina. Setiap tingkat tingginya 2.2 meter. Setiap bilik di tingkat bawah, lebarnya 2.2 meter. Setiap bilik di tingkat tengah, lebarnya 2.7 meter. Setiap bilik di tingkat atas, lebarnya 3.1 meter. Tembok Rumah Tuhan di tiap-tiap tingkat lebih tipis daripada tingkat di bawahnya, supaya kasau bilik-bilik tambahan itu dapat dihubungkan dengan tembok Rumah Tuhan tanpa melubangi tembok itu.

Batu-batu yang dipakai untuk membina Rumah Tuhan disediakan di kuari, sehingga tidak terdengar bunyi penukul, kapak, atau perkakas besi yang lain pada masa Rumah Tuhan dibina.

Pintu bagi tingkat pertama bilik tambahan itu dibuat di sebelah selatan Rumah Tuhan, dan tingkat-tingkat itu dihubungkan dengan tangga. Demikianlah Raja Sulaiman menyelesaikan pembinaan Rumah Tuhan. Dia menggunakan kasau-kasau dan papan daripada kayu sedar untuk siling Rumah Tuhan. Bilik tambahan yang bertingkat tiga itu, yang tingginya 2.2 meter bagi setiap tingkat, dibina di sebelah luar tembok Rumah Tuhan dan dihubungkan dengan kasau-kasau daripada kayu sedar.

Tuhan berfirman kepada Raja Sulaiman, “Jika engkau taat kepada semua hukum dan perintah-Ku, maka bagimu Aku akan lakukan apa yang telah Kujanjikan kepada Daud, bapamu. Aku akan tinggal bersama dengan umat-Ku Israel di Rumah yang engkau bina ini, dan Aku tidak sekali-kali akan meninggalkan mereka.”

Perabot Rumah Tuhan

Demikianlah Raja Sulaiman menyelesaikan pembinaan Rumah Tuhan. Tembok di sebelah dalam Rumah Tuhan dilapisi kayu sedar dari lantai sampai ke siling. Lantainya dibuat daripada kayu sipres. Sebuah bilik yang dinamakan Bilik Maha Suci dibina di bahagian belakang Rumah Tuhan. Panjangnya  meter, dan disekat dari lantai sampai siling dengan papan daripada kayu sedar. Bilik di hadapan Bilik Maha Suci itu panjangnya  meter. Tembok bahagian dalam seluruh Rumah Tuhan dilapisi kayu sedar, sehingga batu-batu temboknya tidak kelihatan sama sekali. Lapisan itu dihiasi ukiran buah labu dan bunga mekar.

Di bahagian belakang Rumah Tuhan, sebuah bilik dibina untuk menyimpan Tabut Perjanjian Tuhan. Bilik itu panjangnya 9 meter, lebarnya 9 meter, dan tingginya 9 meter; seluruhnya dilapisi emas tulen. Mazbah di hadapan bilik itu dilapisi papan daripada kayu sedar. Bahagian dalam Rumah Tuhan dilapisi emas, dan rantai emas direntangkan pada pintu masuk bilik itu. Pintu ini juga dilapisi emas. Seluruh bahagian dalam Rumah Tuhan dilapisi emas. Demikian juga mazbah di Bilik Maha Suci.

Dua kerub yang dibuat daripada kayu zaitun diletakkan di Bilik Maha Suci. Setiap kerub tingginya 4.4 meter. Kedua-duanya sama besar dan serupa. Setiap kerub mempunyai dua sayap, dan setiap sayap panjangnya 2.2 meter. Jarak antara kedua-dua hujung sayap itu 4.4 meter jauhnya. Kedua-dua kerub itu diletakkan berdampingan di Bilik Maha Suci, supaya kedua-dua hujung sayapnya saling menyentuh di tengah-tengah bilik, dan hujung kedua-dua sayap yang satu lagi menyentuh dinding. Kedua-dua kerub itu dilapisi emas.

Seluruh dinding bahagian dalam Rumah Tuhan dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar. Seluruh lantai di dalam Rumah Tuhan dilapisi emas.

Pada pintu masuk Bilik Maha Suci itu dipasang dua daun pintu daripada kayu zaitun. Bahagian atas ambang pintu itu berbentuk lengkungan yang tajam. Daun-daun pintunya dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar. Daun pintu, kerub, dan pokok palma semuanya dilapisi emas.

Bingkai pintu masuk ke bilik depan berbentuk segiempat bujur dan dibuat daripada kayu zaitun. Ada dua lagi daun pintu yang dapat dilipat, yang dibuat daripada kayu sipres. Daun-daun pintu itu dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar. Semuanya dilapisi emas.

Sebuah halaman dibina di depan Rumah Tuhan. Halaman ini dikelilingi tembok yang dibuat berlapis-lapis: satu lapis kayu sedar bagi tiap-tiap tiga lapis batu.

Asas Rumah Tuhan diletakkan pada bulan kedua, iaitu bulan Ziv, pada tahun keempat pemerintahan Raja Sulaiman. Pada bulan kelapan, iaitu bulan Bul, pada tahun kesebelas pemerintahan Raja Sulaiman, pembinaan Rumah Tuhan selesai, tepat seperti yang telah dirancangkan. Pembinaan itu memakan masa tujuh tahun.

Petikan dari Kitab: Taurat Surah 1 Raja-Raja 7: 13 – 51.
Tugas Huram

Raja Sulaiman menyuruh orang menjemput seorang yang bernama Huram, seorang tukang gangsa yang tinggal di kota Tirus. Bapa Huram, yang sudah meninggal, berasal dari kota Tirus. Dahulu bapa Huram itu pun seorang tukang gangsa yang handal. Ibu Huram keturunan suku Naftali. Huram seorang tukang yang mahir, pandai, dan berpengalaman. Dia menyambut jemputan Raja Sulaiman untuk mengurus pembuatan barang-barang daripada gangsa.

Dua Batang Tiang Gangsa

Huram membuat dua batang tiang gangsa; setiap tiang tingginya 8 meter dan lingkarnya 5.3 meter. Dia juga membuat dua buah kepala tiang daripada gangsa; setiap kepala tiang itu tingginya 2.2 meter, dan diletakkan di atas tiang-tiang itu. Bahagian atas tiang-tiang itu dihiasi dengan untaian rantai yang dijalin dan dua baris buah delima yang dibuat daripada gangsa.

Kepala tiang itu berbentuk bunga bakung, tingginya 1.8 meter, dan diletakkan pada bahagian bulat di atas anyaman rantai tadi. Semuanya ada 200 buah delima dalam dua baris pada setiap kepala tiang yang kedua.

Huram mendirikan tiang-tiang itu di depan pintu Rumah Tuhan. Tiang yang di sebelah selatan dinamakan Yakhin, dan yang di sebelah utara dinamakan Boas. Kepala tiang yang berbentuk bunga bakung dan dibuat daripada gangsa diletakkan di atas tiang.

Demikianlah Huram menyelesaikan pembuatan tiang-tiang itu.

Tangki Gangsa

Kemudian Huram membuat sebuah tangki bulat daripada gangsa; dalamnya 2.2 meter, garis tengahnya 4.4 meter, dan lilitannya 13.2 meter. Dua baris buah labu yang diacu bersama dengan tangki itu menghiasi sekeliling tepi sebelah luar tangki itu. Tangki itu diletakkan di atas belakang dua belas lembu jantan yang dibuat daripada gangsa, yang menghadap ke luar: tiga menghadap ke utara, tiga ke barat, tiga ke selatan, dan tiga ke timur. Tebal tepi tangki itu 75 milimeter. Tepi tangki itu serupa tepi cawan, yang melengkung ke luar seperti kelopak bunga bakung. Tangki itu dapat menampung air sebanyak 40,000 liter.

Pedati Gangsa

Huram juga membuat sepuluh buah pedati gangsa. Tiap-tiap pedati itu panjangnya 1.8 meter, lebarnya 1.8 meter dan tingginya 1.3 meter. Pedati itu dibuat daripada papan-papan empat segi yang berbingkai, dan dihias dengan ukiran gambar singa, lembu jantan, dan kerub. Pada bingkainya, di sebelah atas dan di sebelah bawah gambar singa dan lembu jantan itu, terdapat ukiran timbul rangkaian bunga. Tiap – tiap pedati mempunyai empat roda gangsa dengan gandar daripada gangsa juga. Pada keempat-empat penjuru pedati itu terdapat penyangga gangsa untuk menyangga sebuah besen. Penyangga itu dihias dengan ukiran timbul rangkaian bunga. Bahagian atas keempat-empat penyangga itu dihubungkan oleh sebuah bingkai bulat untuk menyangga besen itu. Penyangga itu menonjol setinggi  sentimeter di atas papan empat segi itu, dan  sentimeter di bawahnya.

Di sekeliling bingkai itu ada ukiran. Roda pedati itu setinggi  sentimeter, dan dipasang di bawah papan-papan yang berbingkai. Gandar roda itu seiras dengan pedati. Roda pedati itu seperti roda kereta kuda. Gandar roda, rim, jari-jari, dan pusat roda pedati itu semuanya dibuat daripada gangsa. Di sebelah bawah keempat-empat sudut setiap pedati, terdapat empat penyangga yang juga seiras dengan pedati itu. Di sekeliling bahagian atas pedati itu ada pinggiran selebar 22 sentimeter.

Penyangga pedati dan papan-papannya seiras dengan pedati itu. Semua penyangga dan papan itu berukir gambar kerub, singa, dan pokok palma pada semua tempat yang dapat diukir, dan juga dihias dengan ukiran timbul rangkaian bunga di sekelilingnya. Demikianlah caranya pedati-pedati itu dibuat; semuanya serupa, baik bentuk mahupun ukurannya.

Huram juga membuat 10 buah besen, sebuah bagi tiap-tiap pedati. Garis tengah setiap besen berukuran 1.8 meter, dan dapat menampung air sebanyak 800 liter. Huram meletakkan lima buah pedati itu di bahagian selatan Rumah Tuhan, dan lima buah lagi di bahagian utara. Tangki gangsa itu diletakkannya di sudut sebelah tenggara.

Senarai Perkakas Di Rumah Tuhan

Huram juga membuat periuk, penyodok, dan mangkuk. Dia menyelesaikan segala pekerjaannya bagi Raja Sulaiman untuk digunakan di Rumah Tuhan. Inilah senarai perkakas yang dibuatnya:

 2 batang tiang

2 buah kepala tiang yang berbentuk mangkuk yang diletakkan di atas tiang-tiang

Jalinan rantai pada setiap kepala tiang

400 buah delima daripada gangsa yang disusun dalam dua baris di sekeliling jalinan rantai pada setiap kepala tiang

10 buah pedati

10 buah besen

1 buah tangki gangsa

12 lembu jantan daripada gangsa untuk menunjang tangki

Periuk – periuk, belanga – belanga, penyodok – penyodok, dan mangkuk – mangkuk

Semua perkakas Rumah Tuhan yang dibuat oleh Huram bagi Raja Sulaiman dibuat daripada gangsa yang digilap. Sesuai dengan perintah raja, semua perkakas itu dibuat di peleburan logam di antara Sukot dan Sartan, di Lembah Yordan. Raja Sulaiman tidak menimbang perkakas – perkakas gangsa itu, kerana terlalu banyak bilangannya. Oleh itu beratnya tidak diketahui.

Raja Sulaiman juga menyuruh orang membuat perabot – perabot emas bagi Rumah Tuhan: mazbah, meja untuk roti yang dipersembahkan kepada Allah, sepuluh buah kaki pelita yang diletakkan di hadapan Bilik Maha Suci – lima buah di sebelah selatan dan lima buah di sebelah utara, bunga, pelita, penyepit, cawan, alat untuk membersihkan sumbu pelita, mangkuk, pinggan untuk menyimpan kemenyan, perbaraan, engsel untuk pintu Bilik Maha Suci dan pintu – pintu luar Rumah Tuhan. Semua perkakas itu dibuat daripada emas.

Selepas Raja Sulaiman selesai membina Rumah Tuhan, baginda menyimpan perak, emas, dan barang – barang lain yang telah ditahbiskan kepada Tuhan oleh Raja Daud, ayahanda baginda. Barang – barang itu disimpan di dalam stor – stor Rumah Tuhan.

Petikan dari Kitab: Taurat Surah 1 Raja-Raja 8: 1 – 66.
Tabut Perjanjian Dibawa ke Rumah Tuhan

Kemudian Raja Sulaiman menyuruh semua pemimpin suku dan puak Israel menghadapnya di Yerusalem, untuk memindahkan Tabut Perjanjian Tuhan dari Sion, Kota Daud, ke Rumah Tuhan. Mereka semua berkumpul sempena Perayaan Pondok Daun, iaitu dalam bulan ketujuh, dalam bulan Etanim. Setelah semua pemimpin itu berkumpul, para imam mengangkat Tabut Perjanjian dan membawanya ke dalam Rumah Tuhan. Orang Lewi dan para imam juga memindahkan Khemah Tuhan dan semua perkakasnya ke Rumah Tuhan. Raja Sulaiman dan segenap umat Israel berkumpul di hadapan Tabut Perjanjian, lalu mempersembahkan korban berupa domba dan lembu yang banyak sekali, sehingga tidak terkira bilangannya.

Selepas itu para imam membawa Tabut Perjanjian ke dalam Rumah Tuhan, dan meletakkannya di Bilik Maha Suci, di bawah patung kerub. Sayap kerub-kerub itu terkembang dan menutupi Tabut Perjanjian serta kayu-kayu pengusungnya. Kayu pengusung itu panjang sekali sehingga hujungnya dapat dilihat dari hadapan Bilik Maha Suci, tetapi tidak dapat dilihat dari arah lain. (Kayu-kayu pengusung itu masih di situ hingga sekarang.) Tabut Perjanjian hanya mengandungi dua buah batu yang diletakkan di situ oleh Musa, di Gunung Sinai dahulu, ketika Tuhan membuat perjanjian-Nya dengan umat Israel, selepas mereka keluar dari Mesir.

Sedang para imam meninggalkan Rumah Tuhan, tiba-tiba Rumah itu dipenuhi awan. Awan itu berkilauan dengan cahaya hadirat Tuhan, sehingga mereka tidak dapat masuk kembali untuk menyelenggarakan tugas mereka. Kemudian Raja Sulaiman berdoa,

“Ya Tuhan, Engkau telah menempatkan matahari di langit, namun Engkau lebih suka tinggal dalam kegelapan awan.

Sekarang aku telah membina sebuah rumah yang megah bagi-Mu, sebagai tempat kediaman-Mu selama-lamanya.”

Titah Ucapan Raja Sulaiman Kepada Rakyat

Sedang rakyat berkumpul di situ, Raja Sulaiman berpaling untuk menghadap mereka, lalu memohon Allah memberkati mereka. Raja bertitah, “Terpujilah Tuhan, Allah Israel! Dia telah menepati janji yang dibuat-Nya kepada ayahanda beta, Raja Daud, ketika Dia berfirman kepada Raja Daud demikian, ‘Semenjak Aku membawa umat-Ku keluar dari Mesir, Aku belum pernah memilih kota mana pun di seluruh Israel sebagai tempat pembinaan sebuah rumah, tempat beribadat kepada-Ku. Tetapi Aku telah memilih engkau, hai Daud, untuk memerintah umat-Ku.’ ”

Raja Sulaiman bertitah lagi, “Ayahanda beta, Raja Daud, bercadang untuk membina sebuah rumah sebagai tempat beribadat kepada Tuhan, Allah Israel. Tetapi Tuhan berfirman kepadanya, ‘Maksudmu untuk membina sebuah rumah bagi-Ku memang baik, tetapi engkau tidak akan membinanya. Anakmu, anakmu sendiri, akan membina rumah-Ku.’

Sekarang Tuhan telah menepati janji-Nya. Beta telah menggantikan ayahanda beta sebagai raja Israel, dan beta telah membina sebuah rumah sebagai tempat ibadat kepada Tuhan, Allah Israel. Beta juga telah menyediakan tempat di dalam Rumah Tuhan untuk Tabut Perjanjian yang mengandungi batu perjanjian antara Tuhan dengan nenek moyang kita, ketika Dia membawa mereka keluar dari Mesir.”

Doa Raja Sulaiman

Kemudian di hadapan rakyat, Raja Sulaiman berdiri menghadap mazbah. Baginda mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdoa, “Ya Tuhan, Allah Israel, tiada yang seperti Engkau di langit atau di bumi. Engkau menepati perjanjian-Mu dengan umat-Mu, dan Engkau menunjukkan kasih-Mu kepada mereka apabila mereka taat kepada-Mu dengan segenap hati. Engkau telah menepati janji-Mu kepada ayahandaku, Raja Daud. Pada hari ini, Engkau menepati apa yang telah Engkau janjikan. Oleh itu, ya Tuhan, Allah Israel, tepatilah juga janji-Mu yang satu lagi kepada ayahandaku. Engkau berfirman kepadanya bahawa daripada keturunannya akan sentiasa ada seorang untuk memerintah sebagai raja Israel, asalkan mereka taat kepada-Mu seperti Raja Daud. Oleh itu, ya Allah Israel, tepatilah semua yang telah Engkau janjikan kepada ayahandaku Raja Daud, hamba-Mu.

Tetapi, ya Allah, sungguhkah Engkau sudi tinggal di bumi? Bahkan seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu, apalagi Rumah yang telah kubina! Ya Tuhan, Allahku, aku hamba-Mu. Dengarkanlah doaku, dan kabulkanlah permohonanku hari ini. Lindungilah Rumah ini siang dan malam, tempat yang telah Engkau pilih sebagai tempat beribadat kepada-Mu. Dengarkanlah aku apabila aku menghadap tempat ini dan berdoa kepada-Mu. Dengarkanlah doaku dan doa umat-Mu apabila mereka menghadap tempat ini dan berdoa. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah kami dan ampunilah kami.

Apabila seseorang dituduh bersalah terhadap orang lain, lalu disuruh bersumpah di hadapan mazbah di Rumah ini bahawa dia tidak bersalah, dengarkanlah dari syurga, ya Tuhan, dan adililah hamba-hamba-Mu. Hukumlah orang yang bersalah setimpal dengan perbuatannya dan bebaskanlah orang yang tidak bersalah.

Apabila umat-Mu Israel dikalahkan musuh kerana mereka telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka kembali kepada-Mu dan datang ke Rumah ini serta berdoa kepada-Mu dengan rendah hati dan minta diampuni, semoga Engkau di syurga, mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa umat-Mu, dan bawalah mereka kembali ke negeri yang Engkau berikan kepada nenek moyang mereka.

Apabila Engkau menahan hujan kerana umat-Mu telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka bertaubat dan menghadap Rumah ini, dan berdoa kepada-Mu dengan rendah hati, semoga Engkau di syurga, mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa raja dan rakyatnya, orang Israel. Ajarlah mereka melakukan apa yang benar. Selepas itu, ya Tuhan, turunkanlah hujan ke atas negeri-Mu ini, yang telah Engkau berikan kepada umat-Mu sebagai pusaka mereka selama-lamanya.

Apabila kebuluran atau wabak berlaku di negeri ini, atau tanaman musnah kerana angin panas, hama, atau serangan belalang; ataupun apabila umat-Mu diserang musuh, atau penyakit, dengarkanlah doa mereka. Jika ada orang di kalangan umat-Mu Israel, dengan bersedih hati mengangkat tangan dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap Rumah ini, dengarkanlah doa mereka. Dengarkanlah mereka dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan ampunilah dan tolonglah mereka. Hanya Engkau yang tahu isi hati manusia. Oleh itu, perlakukanlah tiap-tiap orang setimpal dengan perbuatannya, supaya umat-Mu sentiasa taat kepada-Mu dan tinggal di negeri yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami.

Apabila seorang bangsa asing yang tinggal di negeri jauh mendengar tentang kebesaran-Mu, dan juga tentang mukjizat-mukjizat yang telah Engkau lakukan bagi umat-Mu, lalu datang menyembah-Mu dan berdoa di Rumah ini, dengarkanlah doanya. Dengarkanlah dia dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan kabulkanlah permintaannya supaya semua bangsa di dunia mengenal Engkau dan taat kepada-Mu, seperti umat-Mu Israel. Barulah mereka tahu bahawa Rumah yang telah aku bina ini ialah tempat untuk beribadat kepada-Mu.

Apabila Engkau memerintah umat-Mu bertempur untuk melawan musuh, dan mereka berdoa kepada-Mu di mana sahaja mereka berada, sambil menghadap kota yang telah Engkau pilih dan Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu, dengarkanlah doa mereka. Engkau yang di syurga, dengarkanlah mereka, dan berilah mereka kemenangan.

Apabila umat-Mu berdosa terhadap-Mu – kerana tiada sesiapa pun yang tidak berdosa – dan kerana kemurkaan-Mu Engkau membiarkan mereka dikalahkan, ditawan oleh musuh, dan dibawa ke negeri lain, walaupun negeri itu jauh, dengarkanlah umat-Mu. Jika mereka bertaubat dan berdoa kepada-Mu di negeri itu, serta mengaku bahawa mereka telah berdosa dan berbuat jahat, dengarkanlah doa mereka, ya Tuhan. Jika di negeri itu mereka bertaubat dengan tulus dan ikhlas, dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap ke arah negeri ini yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami dan ke arah kota yang telah Engkau pilih, serta Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu, dengarkanlah doa mereka. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah permintaan mereka dan kasihanilah mereka. Ampunkanlah semua dosa dan pemberontakan mereka terhadap-Mu, dan buatlah musuh mereka mengasihani mereka. Mereka umat-Mu sendiri, yang Engkau bawa keluar dari Mesir, tempat mereka diseksa.

Ya Tuhan Raja, semoga Engkau sentiasa berkenan kepada umat-Mu Israel dan raja mereka. Dengarkanlah doa mereka setiap kali mereka berseru kepada-Mu meminta tolong. Engkau telah memilih mereka antara semua bangsa untuk menjadi umat-Mu sendiri; itulah firman-Mu kepada mereka melalui hamba-Mu Musa ketika Engkau membawa nenek moyang kami keluar dari Mesir.”

Doa Penutup

Demikianlah Raja Sulaiman berdoa kepada Tuhan sambil berlutut dan mengangkat tangan.

Selepas itu baginda berdiri di hadapan mazbah. Dengan suara kuat baginda berdoa minta Allah memberkati semua orang yang berkumpul di situ, katanya, “Terpujilah Tuhan yang telah memberi umat-Nya kesejahteraan seperti yang dijanjikan-Nya melalui Musa, hamba-Nya. Semua yang baik yang dijanjikan-Nya telah ditepati-Nya. Semoga Tuhan, Allah kita menyertai kita sebagaimana Dia menyertai nenek moyang kita. Semoga Dia tidak meninggalkan kita atau membuang kita. Semoga Dia menjadikan kita orang yang taat kepada-Nya supaya kita sentiasa hidup menurut kehendak-Nya, dan mentaati semua hukum dan perintah yang diberikan-Nya kepada nenek moyang kita.

Semoga Tuhan, Allah kita, sentiasa ingat akan doa dan permintaan yang beta sampaikan kepada-Nya ini. Semoga Dia sentiasa mengasihani umat-Nya Israel dan raja mereka, dengan memberi mereka apa yang diperlukan setiap hari. Dengan demikian semua bangsa di bumi akan tahu bahawa Tuhan sahaja Allah, dan tiada yang lain. Semoga kamu umat-Nya sentiasa setia kepada Tuhan, Allah kita, sambil taat kepada semua hukum dan perintah-Nya seperti yang kamu lakukan pada hari ini.”

Pentahbisan Rumah Tuhan

Selepas itu Raja Sulaiman dan segenap umat yang berkumpul di situ mempersembahkan korban kepada Tuhan. Raja Sulaiman mempersembahkan , ekor lembu dan , ekor domba sebagai korban untuk memohon berkat Tuhan. Demikianlah Raja Sulaiman dan segenap rakyat mentahbiskan Rumah Tuhan.

Pada hari itu raja juga mentahbiskan bahagian tengah halaman, iaitu kawasan sebelah depan Rumah Tuhan. Di situ baginda mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan, korban untuk mengucap syukur dan lemak binatang daripada korban untuk memohon berkat Tuhan. Raja mempersembahkan semuanya di situ kerana mazbah gangsa yang dibina baginda, terlalu kecil untuk semua korban itu.

Di Rumah Tuhan itu juga, Raja Sulaiman dan segenap umat Israel merayakan Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari. Banyak sekali orang yang datang untuk merayakan perayaan itu. Mereka dari daerah sejauh Genting Hamat di utara dan sempadan negeri Mesir di selatan. Pada hari kelapan, Raja Sulaiman menyuruh semua orang itu pulang. Mereka pulang dengan sukacita, sambil memuji raja bagi segala berkat yang telah diberikan Tuhan kepada Raja Daud, hamba-Nya, dan segenap umat-Nya Israel.

Show More
Back to top button