Siti Hajar dan Janji Allah pada Anaknya

Tahukah anda?

Tahukah anda bahawa Siti Hajar, isteri Nabi Ibrahim, adalah wanita pertama yang menyeru nama Allah? Sebagai isteri kedua, dia mengharungi pelbagai kesukaran. Tetapi Tuhan melihat dia dan menemuinya dalam penderitaannya dan menyelamatkan dia dan anaknya, Nabi Ismail, yang Dia jadikan bangsa yang besar.
Mari bacalah...

Sarai, isteri Abram (Nabi Ibrahim AS), masih belum melahirkan anak bagi Abram. Dia mempunyai seorang hamba perempuan, orang Mesir bernama Hajar. Maka kata Sarai kepada Abram, “Oleh sebab Allah telah menahan aku daripada mengandungkan anak, kahwin sajalah dengan hambaku, siapa tahu aku memperoleh anak melaluinya.” Maka Abram mendengar dan menuruti usul Sarai itu.

Lalu Sarai isteri Abram membawa Hajar, orang Mesir yang menjadi hambanya itu, dan memberikannya kepada Abram suaminya untuk dijadikan isterinya. Pada waktu itu sudah sepuluh tahun lamanya Abram tinggal di Tanah Kanaan. Abram pun meniduri Hajar, lalu mengandunglah perempuan itu. Apabila Hajar tahu sahaja bahawa dia mengandung, mulalah dia memandang rendah terhadap cik puannya.

Lalu Sarai berkata kepada Abram, “Penghinaan yang kudapat ini tanggunganmu! Aku memberikan hambaku ke pangkuanmu, tetapi ketika dia tahu bahawa dia mengandung, dia memandang rendah terhadapku. Semoga Allah menjadi Hakim antara aku dengan kamu.” Kata Abram kepada Sarai, “Sesungguhnya, hambamu itu berada dalam kekuasaanmu. Lakukanlah apa jua terhadapnya mengikut budi bicaramu.” Maka Sarai menindas Hajar sehingga larilah Hajar daripadanya.

Malaikat Allah menjumpainya dekat sebuah mata air di gurun, iaitu berdekatan dengan mata air di jalan yang menuju ke Syur. Sabdanya, “Wahai Hajar, hamba Sarai, dari manakah kamu dan hendak ke mana?” Jawab perempuan itu, “Aku melarikan diri daripada Sarai, cik puanku.” Sabda malaikat Allah kepadanya, “Kembalilah kepada cik puanmu dan tunduklah kepada kuasanya.” Sabda malaikat Allah pula kepadanya, “Aku akan menjadikan keturunanmu tersangat ramai, hingga tidak terhitung banyaknya.” Selanjutnya, malaikat Allah bersabda kepadanya,

“Kamu sedang mengandung
dan kamu akan melahirkan seorang anak lelaki.
Namailah dia Ismail,
kerana Allah telah mendengar jeritan kesusahanmu.
Dia akan menjadi orang yang hidupnya seperti keldai liar.
Tangannya akan melawan setiap orang,
dan tangan setiap orang akan melawan dia.
Dia akan hidup bertentangan dengan semua saudaranya.”

Lalu Hajar menyeru nama Allah yang berfirman kepadanya itu “Engkaulah Tuhan Yang Memperhatikan,” kerana katanya, “Sungguhkah aku nampak Dia yang memperhatikan aku?”

Itulah sebabnya perigi itu, yang letaknya di antara Kadesh dengan Bered, disebut Perigi Lahai-Roi. Maka Hajar melahirkan seorang anak lelaki bagi Abram yang menamakan anaknya yang dilahirkan oleh Hajar itu Ismail. Abram berumur 86 tahun pada waktu Hajar melahirkan Ismail.

Soalan-soalan
  • Siapakah Siti Hajar sebelum menjadi isteri Nabi Ibrahim?
  • Mengapa dia menjadi isteri Nabi Ibrahim? Kenapa Siti Hajar lari dari Sarai?
  • Siapa yang dia jumpa semasa dia melarikan diri?
  • Apakah janji Malikat Allah tentang anak Siti Hajar
  • Apakah yang Siti Hajar percaya tentang Tuhan selepas pertemuan ini?